Seorang kawan saya bernama Hj. Sukiran Sarman, mantan YDP PAS Sepang sepanjang 1980an dan hampir keseluruhan 1990an selalu menyatakan rasa kegerunannya sekiranya beliau diminta berucap dalam majlis majlis yang dihadhiri oleh pimpinan PAS. Saya selalu mengatakan kepada beliau, apa yang anta takutkan, kalau anta dikehendaki berucap, cakap ajelah apa yang anta tahu.
Kemudian diawal 1990an, saya berpeluang menghadhiri muktamar PAS sebagai seorang perwakilan. Semasa saya masuk ke dalam dewan muktamar, ruang kian dipenuhi oleh para perwakilan, dan saya perhatikan yang memenuhi dewan tersebut terdiri daripada para ustaz dan ulama. Kemudian saya lihat saf kepimpinan pula mengisi ruang baris pimpinan di atas pentas. Hampir semuanya terdiri daripada para ustaz dan tok guru. Saya melalui proses tarbiyah yang dikendalikan oleh tok tok guru, dan perasaan hormat serta ta'zim terhadap tok tok guru memang tebal dan meresap ke jiwa. Apabila saya lihat yang dihadapan saya tu bukan seorang, bukan dua orang tetapi puluhan ustaz dan tok guru, maka dengan sendirinya haibah yang dipunyai oleh para ustaz dan tok guru tersebut menyelinap turun ke bawah dan menyusur masuk ke dalam jiwa saya.
Saya rasa tersangat kecil dan rendah maqam berbanding dengan para ustaz dan tok guru di hadapan saya. Pada ketika itu memang rasa gugup sampai, memang lidah terasa kelu, dan terasa semacam inferior berbanding dengan mereka. Maka ketika itu fahamlah saya mengapa kawan saya tadi berasa takut untuk berucap dalam majlis majlis PAS yang dihadhiri oleh tok tok guru.
Saya memang tidak boleh terima kalau ahli PAS bersikap kurang hormat, apatah lagi kurang ajar dengan pimpinan PAS. Sebab itu dalam satu menyuarat PAS perhubungan negeri Selangor lima enam tahun yang lepas, saya rasa marah dan benci apabila seorang ahli mesyuarat (sekarang YB) dengan kurang ajar bertelagah sambil menuding jari kepada Pesuruhjaya pada ketika itu. Tak hormatkan tok guru, protes hati saya.
Tetapi dalam organisasi memang diperlukan percambahan pendapat. Dan memang ada dissent. Kita kena raikan semua ini. Itu menunjukkan ada unsur keintelektualan, unsur kritikan yang boleh memperbaiki, bukan merosaki. Oleh itu, apabila pimpinan dikritik, yang dikritik ialah batang tubuhnya yang bersifat dengan sifat jawatan yang disandang. Bukan sifat ustaznya. Bukan sifat tok gurunya. Bukan sifat ulamanya.
Kalau kita nak kritik ulama sebagai sifatnya ulama, malu kita.