Masa saya kecil dan mula sekolah darjah satu, alat utama yang digunakan untuk menulis ialah papan batu dan qalam. Papan batu ialah sebuah board yang dibuat daripada bahan apa pun saya tak tahu, tetapi apabila digores dengan qalam , yang berbentuk seperti stylus PDA sekarang, maka tulisan akan tertera. Kemudian saya kira masa darjah 2, papan batu ini diganti dengan buku tulis.
Masa saya mula mula masuk universiti, pensyarah menggunakan kapur dan papan hijau untuk menulis semasa berkuliah. Amalan ini berterusan sehingga saya sendiri menjadi pensyrah dan mengajar di universiti. Kemudian kapur diganti dengan marker dan papan hijau diganti dengan white board.
Semasa saya pelajar, pensyarah menggunakan slide dan slide projector untuk membuat presentation, kemudian saya pun gunakan teknologi yang sama. Lepas itu masuk pula era overhead projector, pun diguna juga. Saya ingat lagi mengusung overhead projector pergi balik ke kuliah, sebab pensyarah tidak ada ofis boy nak bantu kerja buruh kasar macam tu.
Bila masuk pula era LCD projector dan laptop, saya berkuliah terus mengusung alat, kali ni LCD projector dan laptop. Kemudian LCD projector sudah dibekalkan dalam setiap dewan kuliah, maka saya ke kuliah bawa laptop sahaja.
Kemudian masuk pula era pen drive. Oleh kerana ada tutor atau kadang-ladang research assistant, saya hanya bawa pen drive ke kuliah untuk mengajar.
Selalu semasa saya sedang berjalan ke kuliah, sambil membaca doa doa dan zikir sementara sampai ke dewan kuliah, dan sambil memutar mutar tali pengikat pen drive, saya sering berkata pada diri sendiri, kan ke senang nak berkuliah. Tidak lah penat aku mengusung alat alat untuk berkuliah lagi.
Ye kan?