Thursday, August 14, 2008

SAYA SETUJU UTZ HADI JADI PM

Assalamualaikum,

Membaca Harakahdaily yang melaporkan pendirian dewan ulama PAS agar Ustaz Ahb. Hadi Awang dilantik menjadi perdana menteri apabila PR memegang tampuk pemerintahan, ditambah lagi dengan komen awal ustaz Nik Amar mengenai perkara yang sama, saya rasa perlu juga saya menyatakan pendirian.
Saya rasa bukan sahaja ustaz Hadi layak menjadi perdana menteri, tetapi mana mana pemimpin PAS adalah layak dan berkelayakan untuk menjadi perdana menteri. Juga saya memang sentiasa menunggu nunggu saat di mana seorang pemimpin yang memperjuangkan perjuangan Islam dan membawa roh perjuangan tersebut dinobatkan menjadi pemimpin nombor satu bukan sahaja di Malaysia, tetapi di mana mana juga di dunia ini.
Kalau pemimpin PAS yang diangkat menjadi perdana menteri, maka ingin saya tekankan bahawa ia diangkat sedemikian kerana prestasi PAS dalam pilihanraya membolehkannya diangkat ke jawatan yang sedemikian. Seperti almarhum utz Fadzil Nor, beliau diangkat menjadi ketua pembangkang dalam tahun 1999 kerana prestasi PAS dalam pilihanraya tahun tersebut membolehkan beliau sahaja yang diangkat ke jawatan tersebut.
Adalah molek dan berwibawa, sekiranya sesiapa sahaja, dan dari parti politik apa pun, diangkat memegang jawatan paling tinggi sesebuah negara dengan cara yang mengikut saluran betul dan diakui kesahiahannya oleh semua pihak. Walaupun saya tidak setuju sepenuhnya dengan apa yang dituliskan oleh Chandra Muzafar, namun, sekelumit unsur benar ada disentuhnya. Menjadi pemimpin tertinggi sesebuah negara boleh dicapai dengan beberapa cara . Untuk tidak dipertikaikan, cara terbaik ialah dengan memenangi jumlah kerusi paling banyak dalam sesebuah piliharaya dan dinobatkan dengan cara beristiadat dan penuh pengiktirafan.
Untuk Islam meraih hormat dan tabik orang lain, dan untuk PAS tidak dipertikaikan, maka cara terbaik untuk menjadi perdana menteri ialah dengan cara yang dimaktub dan direstui oleh sistem yang diamalkan oleh negara ini. Menang paling banyak kerusi parlimen, dan anda akan diangkat jadi perdana menteri.
Saya sangat setuju Utz. Hadi jadi perdana menteri. Tetapi bukan dengan jumlah kerusi parlimen yang dimenangi PAS sekarang.