Tuesday, November 4, 2008

LANTUNLEPAS DARIPADA FIQH ALHELMY

Assalamualaikum,


Burhanudin Al Helmy adalah salah seorang pemimpin PAS yang membawa impak besar terhadap arah tuju yang dilalui oleh PAS. Walau bagaimana pun, zaman beliau mempamirkan cabaran yang berlainan dengan cabaran yang dihadapi sekarang. Al Helmy telah menunjukkan penguasaan kepada ilmu ilmu Islam yang tinggi, dan dengan itu, dalam menjalani kehidupan untuk menegakkan perjuangan Islam, beliau telah banyak menghasilkan interpretasi keadaan zaman beliau. usaha ini saya namakan fiqh Al Helmy.
Fiqh yang dihasilkan oleh Al Helmy banyak dipengaruhi oleh sentimen nasionalisme yang rata rata pada zaman tersebut melanda negara negara umat Islam. Kita tahu nasionalisme dihasilkan oleh revolusi Perancis yang menekankan kepada kecintaan kepada nation, yang mana nation ini pula boleh diterjemah menjadi bangsa, negara, puak atau kelompok atau apa sahaja yang boleh dijadikan asas untuk berpuak puak. Sebahagian kecil sahaja nasionalisme ini yang compatible dengan Islam tetapi bahagian yang besar pula bercanggah dengan Islam, seperti sifat membenci atas dasar puak, mendiskriminasi, menganiaya, menyakiti serta memerangi dan menghapus. Tetapi perbezaan yang tidak boleh ditolak ansur ialah Islam menyeru kepada Allah Akbar, sementara nasionalisme menyeru kepada puak akbar.
Fiqh yang diguna pakai oleh PAS sehingga ke era kepimpinan ulamak banyak dipengaruhi oleh fiqh Al Helmy. Syariat adalah hukum yang diturunkan oleh Allah, sementara fiqh adalah interpretasi manusia terhadap syariat tersebut. Oleh itu fiqh sentiasa bersifat dinamik dan mengikut keperluan semasa dan setempat.
Dalam era PR diberi mandat untuk memerintah sebahagian daripada Malaysia, maka fiqh Al Helmy yang terdapat dalam PAS hendaklah dilantunlepas supaya ia menjadi terkehadapan dan sentiasa terkini dalam menghadapi cabaran semasa. Dinamiknya fiqh ini telah ditunjukkan apabila PAS membenarkan calon wanita bertanding dalam pilihan raya. Ini menunjukkan telah ada sebahagian daripada derap langkah PAS seiring dengan kemajuan dan realiti semasa negara ini. Fiqh ini akan berubah lagi sekiranya calon bukan Islam dibenar bertanding atas tiket PAS, dan samada non Muslim boleh menjadi ahli PAS. Kesemuanya ini menunjukkan jurisprudence engineering yang lakukan untuk memenuhi keperluan semasa. Begitu juga dengan mengambil rakan kongsi dalam pilihan raya, ia menunjukkan fiqh yang digunakan telah mengalami inovasi dinamik yang membolehkan pelbagai perkembangan baru dicapai.
Tetapi tidak semua pemimpin PAS faham tentang dinamik yang sedang berlaku dalam masyarakat Malaysia, atau mereka lambat menangkap perubahan yang berlaku, dan dengan itu masih terperangkap dengan fiqh Al Helmy. Menaikkan kuota pemilikan rumah 50% di Kedah dan kemudian bersetuju untuk menurunkan kuota tersebut menunjukkan fiqh Al Helmy masih lagi sukar ditanggal, tetapi desakan yang dikemukakan menyebabkan keputusan tersebut diubah.
Kenyataan Mujahid Yusof Rawa tentang penggunaan pelbagai bahasa pada papan tanda jalan di Georgetown jelas menunjukkan overtone yang sama dengan nasionalis UMNO. Begitu juga dengan kesangsian mengenai perlantikan bukan Melayu untuk menerajui PKNS di Selangor adalah saki baki fiqh Al Helmy yang memerlukan inovasi baru. Hanya dengan fiqh baru yang seiring dengan mood serta suasana semasa akan menjadikan PAS sentiasa relevan dalam apa suasana pun.
Alangkah cantik kalau kenyataan yang pemimpin PAS buat sentiasa bersandarkan fiqh baru yang terkini!