Almarhumah nenek saya bernama Hajjah Tijah Binti Haji Sadan. Saya dibelanya dari kecil, dan saya membahasakan beliau sebagi emak. Sebagai penoreh getah, rakan sejawatnya menggelar beliau TUN TIJAH, tetapi kemudian entah bagaimana gelaran tersebut menjadi singkat kepada TONTI.
TONTI pandai berpantun. Dalam diri beliau tersimpan ribuan pantun yang merangkumi semua topik yang mampu terfikir oleh anda. Anda juallah apa pantun pun, jawapannya telah tersedia dalam susunan yang sangat berseni. Saya mewarisi banyak pantun dari beliau, tetapi sebab minat saya telah berubah, hanya dua pantun sahaja yang saya kekal simpan: Pertama:
Anak itik terenang renang
Terenang renang dalam perahu
Duduk aku terkenang kenang
Orang benci aku tak tahu.
Pantun ini digunakan dalam dua situasi: (1) sekiranya anda menghiba diri sendiri, seperti anda nak tackel atau mengurat sesorang, tetapi orang tersebut tidak layan (2) Sekiranya anda hendak perli orang yang anda tidak suka.
Dalam kedua dua kes, anda cuma sebut bait yang pertama sahaja, iaitu anak itik terenang renang , maka orang yang ditujukan pantun tersebut dengan sendirinya tahu apakah bait bait seterusnya pantun tersebut, dan faham apakah yang tersirat.
Pantun kedua yang masih dalam memori saya ialah:
Sudah kau tahu peria tu pahit
kenapa disayur dari bunganya
Sudah kau tahu cinta tu sakit
kenapa dicebur dari mulanya
Semasa saya remaja, TONTI selalu perli saya kalau duduk termenung dengan melafazkan bait pertama: Dah kau tahu peria tu pahit.........., maka dengan ini saya pun tahulah apa yang beliau maksudkan.
Mereka yang seangkatan dengan almarhumah kebanyakannya telah tiada lagi, generasi pemantun selapis di bawah beliau juga sedang pupus sedikit demi sedikit, saya tidak tahu kalau ada lagi mereka yang mewarisi seni ini.
Pemantun di Melaka akan mempamirkan kehebatan mereka dalam satu temasya yang dikenali sebagai mandi safar. Saya pun tidak tahu, dari manakah asal temasya ini, sebab saya bila saya celik mata sahaja, temasya ini telah pun diamalkan.
Mandi safar ini diadakan dalam bulan Safar, mengapa saya tidak tahu. Temasya tersebut diadakan pada hari rabu dalam bulan Safar, bermakna kalau ada empat rabu, maka akan ada empat temasya, kalau lima, lima temasya. Tempat-tempat dimana temasya mandi safar ini diadakan ialah seperti, di Bukit Duyung, Kampung Duyung, di mana reservoir air berada; di Kampung Permatang Pasir, Kandang; di Batu Gajah, Merlimau, di takungan air, Ayer Keroh, Melaka (tetapi tempat ini tidak digunakan untuk temasya ini sejak saya kecil lagi); Pulau Besar, Melaka, dan puncaknya diadakan di Tanjung Keling, Melaka. Di Tanjung Keling ini temasya diadakan pada hari rabu terakhir dalam bulan Safar.
Apa yang mereka buat dalam mandi safar?
1. Kereta lembu. Temasya mandi safar ini diadakan secara berpasukan yang wujud secara sendiri sendiri. Satu pasukan mesti mempunyai kereta lembu, yang akan dihias secantik mungkin
2. Pemuzik. Peralatan muzik terdiri daripada biola, gong, dan kadang kadang accordian.
3.Pemantun. Terdiri daripada lelaki atau perempuan, tua atau muda.
4. Ahli joget. Terdiri daripada muda mudi dan siapa sahaja yang nak tumpang sekaki.
Persiapan untuk bertemasya ini dilakukan mungkin sebulan dua sebelum tarikh yang ditetapkan. Perbelanjaan tanggung sendiri.
Katakan temasya tersebut diadakan di Pantai Rombang, Tanjung Keling:
Maka pada pagi selasa, pasukan kereta lembu akan mula bergerak menuju Tanjung Keling. Dalam kereta lembu tersebut di isi pemain muzik dan pemantun, bersama dengan dua tiga guni rumput untuk makanan lembu, disamping perbekalan makanan untuk manusia. Pasukan ini datangnya dari Bukit Lintang, Ayer Molek, Pengkalan Minyak, Duyung, Kandang, Alai, dan banyak lagi kampung kampung lain yang turut serta.
Katakan rombongan tersebut bermula dari Bukit Lintang. Sepanjang perjalanan, gong akan dipalu, biola digesek dan pemantun akan berpantun berterusan. Tetapi kalau lembu berak dalam bandar Melaka, tiada siapa yang mengaut tahi tersebut.
Sampai di Tanjung Keling, kereta lembu diparkir di tempat yang sesuai, dan sekiranya semua perkara telah selesai, maka gong dipalu, biola digesek dan pemantun mula menyanyi sambil berpantun, dan pejoget yang biasanya dimulai oleh yang perempuan berpasangan dengan perempuan akan mula berjoget lambak.
Kalau anda lelaki, yang ingin berjoget sama, maka semasa pasangan perempuan ini berjoget, anda boleh mencelah dan memotong joget yang seorang dan anda sekarang berpasangan dengan pejoget yang satu lagi. Dan teruskan.
Kalau anda pemantun, anda sambut atau balas pantun yang dijual, dan berbalas balas pantun ini boleh berterusan sampai ke malam, sampai ke pagi dan terus terusan. Semakin lama pasangan yang berjoget ini akan bertambah kerana lebih ramai muda dan mudi, teruna dan teruni, mak cik dan pak cik, datuk dan nenek yang turut sama terkinja kinja dalam temasya ini.
Jadi sepanjang pantai tersebut, anda akan dapati pasukan dari Ayer Molek sedang terkinja, kemudian dari Pengkalan Minyak, dari Bukit Lintang, dari Duyung, dari Alai, Dari Teluk Mas dan banyak lagi sehingga suasana menjadi meriah dari petang selasa, sehingga ke sepanjang malam, sampai hari rabu, dan hanya berhenti sekira asar hari rabu. Walau bagaimana pun, ada yang terlanjut sampai lepas magrib rabu malam kamis.
Itulah dia mandi safar. Sembahyang kemana, adab kemana, kerja kemana, yang dapat terkinja kinja.
Semasa umur belasan tahun, aku pun sama!