Thursday, July 3, 2008

SIFAT ORANG MELAYU

Assalamualaikum,
Semasa saya menghadhiri satu persidangan dalam siri Malaysia-Singapore Forum yang diadakan setiap tahun antara Fakulti Arts & Social Science U Malaya dengan fakulti yang sama National University of Singapore, saya kira dalam tahun 2002, saya merasa satu kelainan dalam pendekatan yang digunakan oleh pemerintah Singapura terhadap sumbangan orang Melayu terhadap Singapura. Pemerintah Singapura telah mula mengiktiraf sumbangan orang Melayu kepada Singapura. Dalam satu program, kami telah dibawa makan malam berselerak di atas Bukit Chandu. Di sini kami telah dihidangkan dengan klip filem yang menunjukkan bagaimana Ashkar melayu mempertahankan Singapura daripada serangan tentera Jepun. Yang tidak boleh saya lupakan ialah kenyataan dalam filem tersebut seorang bekas asykar Australia yang sama-sama berjuang dengan Asykar Melayu. Beliau mengatakan the Malays wouldn't move an inch bagi menunjukkan keberanian orang Melayu semasa berjuang.
Orang Melayu juga terkenal dengan sifat lemah lembut, berbudi bahasa, sopan dan santun dan lain-lain lagi. Tetapi kalau anda rajin membaca hikayat-hikayat lama mengenai orang Melayu, terdapat juga sifat-sifat lain dalam diri orang Melayu itu, dan sifat-sifat ini adalah hodoh. Juga dipunyai oleh orang Melayu, dan masih lagi dipunyai dan terpancar dalam diri orang Melayu hingga ke hari ini.
Kalau kita ambil sejarah Singapura tadi, tentu kita telah dengar cerita Singapura di langgar todak. Dalam cerita ini, Hang Nadim, yang menunjukkan ciri-ciri keintelektualan, yang berjaya mengeluarkan orang melayu dari sifat bebal mereka dengan membentengkan betis apabila ikan todak melompat ke pantai Singapura, telah menimbulkan rasa iri hati di kalangan orang Melayu yang hampir dengan istana. Dengan itu satu konspirasi telah dicipta untuk menjatuhkan Hang Nadim, agar dia tersingkir, dan mereka yang berhajat untuk menjawat jawatan penting di istana tidak punyai sebarang pencabar. Maka satu fitnah telah dicipta, dan akhirnya sultan menerima cerita memburukkan Hang Nadim sehingga dia dibunuh.
Percayalah. Cerita Hang Nadim ini akan berulang sepanjang zaman. Saya pernah berbincang dengan Prof. Sanat, bekas pensyarah Akademi Pengajian Melayu, U Malaya di mana beliau menceritakan dalam Misa Melayu, bagaimana orang yang di benci Sultan itu dihalau dari tempat tinggalnya, rumahnya dirobohkan, dan sehingga tanah tempat dimana rumahnya didirikan digali dan dibuang jauh agar sekelumat pun bekas bekas nya tidak kelihatan lagi. Begitulah sifat pendendam orang Melayu. Dalam sejarah Hang Tuah, kita baca cerita tentang sekian kalinya Hang Tuah difitnah, tetapi disebabkan sifat bebal dan taat tak ketahuan arah, Hang Tuah masih lagi menyokong pemerintah, walau apa pun.
Dan ada banyak lagi, dan ada banyak lagi yang anda dan saya sama-sama tahu. Cuma yang ingin saya ketengahkan di sini ialah, kalau dalam hikayat dahulu kala ia berlaku, maka dalam hikayat sedia kala pun ia terus berlaku.