Asslamualaikum,
Saya selalu memperingati diri sendiri apa yang dicari di dunia ini ialah Mirdhatillah. Ia itu keredhaan Allah. Saya memperingat diri sendiri kerana untuk mendisiplinkan diri sendiri dalam perkara sebenarnya adalah sukar, kerana banyak runtunan lain yang menarik seseorang itu kepada keredhaan syaitan.
Dalam usaha mencari mirdhatillah ini, kadang kala kita kena menceritakan apa yang terkandung dalam minda kita, walaupun diketahui ia mungkin tidak menyenangkan orang yang mendengarnya. Dalam gelegak isu hari ini, saya membenarkan dan dapat memahami apa yang disuarakan oleh Karpal Singh mengenai pertemuan PAS dengan UMNO. Begitu juga saya dapat menerima hujah yang dikeluarkan oleh Tan Seng Giaw yang menyokong apa yang disuarakan oleh Pengerusi DAP itu. Dan saya rasa bantahan-bantahan yang disuarakan oleh orang PAS, termasuk oleh pemimpinnya, adalah tidak begitu menunjukkan semangat setia kawan.
Saya meletakkan diri saya pad tempat orang yang membangkitkan persoalan. Kalau sekiranya kita berkawan, dan telah wujud semacam kesefahaman dalam ikatan persahabatan tersebut, maka kita harap semua rakan dalam persahabatan tersebut menghormati ikatan persahabatan tersebut. Adalah tidak kena, kalau, seorang daripada rakan persahabatan ini tadi, secara senyap dan bersendirian bertemu dan berunding dengan musuh umum kepada persepakatan ini . Dan, rundingan itu adalah untuk menghancurkan kesepakatan tersebut. Ini tidak betul.
Dalam konteks pertemuan PAS dengan UMNO yang agenda pertemuan tersebut ialah untuk menubuhkan kerajaan campuran negeri Selangor antara PAS dan UMNO, kalau saya yang berada sebagai rakan persepakatan yang tidak tahu menahu mengenai rundingan ini, memang saya akan mengatakan ini adalah tindakan menikam dari belakang. Sanggupkah ahli PAS, dan penyokong PAS mengatakan bahawa PAS telah menikam PR dari belakang kerana mengada pertemuan untuk meruntuhkan PR dari tampuk pemerintahan negeri Selangor? Adakah molek orang PAS sendiri kutuk PAS? Atau anda ingin memilih untuk berdiam diri dan mengambil sikap non committal? Kalau orang lain mudah dilabelkan sebagai *** bisu, tidakkah anda juga turut termasuk dalam kategori yang sama?
Harus kita akui, ini adalah satu kesilapan strategik yang telah dilakukan oleh PAS. Puas dah diperingat, namun PAS terperesuk lagi ke dalam jerangkap samar yang tidak pernah lupakan mangsanya. Pertemuan tersebut akan menjadi satu bonus kepada PAS kalau ia dilakukan secara terbuka dan semua rakan persepakatan dimaklumi terlebih dahulu. Mengapa perlu bersembunyi sembunyi, adakah ada hasrat yang kelingking berkait?
Saya dapat merasakan PAS telah melakukan satu kesilapan strategik yang besar, tetapi mempertahankan kesilapan tersebut adalah satu kesilapan lagi. Kita seharusnya akur dengan teguran mahu pun herdikan kerana kesilapan tersebut, dan dengan segera memperbetulkannya.
Pada masa yang sama juga saya menentang apa yang disuarakan oleh Karpal Singh supaya kedudukan PAS dalam PR dikaji semula, ini kerana, pada pendapat saya, DAP terlebih perasan mengenai kekuatan parti tersebut. Kemenangan DAP dalam pilihan raya yang lepas sebahagiannya telah di bantu oleh pengundi PAS.
Saya telah katakan bahawa PAS adalah sine quo non dalam PR. Bermaksud, PAS adalah komponen yang diperlukan dalam PR. Buang PAS, PR tumbang.
Karpal boleh marah PAS. Seng Giaw boleh herdik PAS. Tetapi kalau buang PAS, mereka sembelih merih sendiri.