Kalau dalam post yang lepas saya katakan perkataan "sombong" dan "angkuh" menjadi zikir kepada ramai orang UMNO, maka hari ini satu lagi zikir yang sentiasa meniti dibibir mereka ialah perkataan ambil tindakan. Dalam episod terkini kita lihat bagaimana akhbar hari ini melaporkan menteri di jabatan perdana menteri, Zaid Ibrahim sekali lagi mencadangkan agar ahli parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir dan ahli parlimen Pasir Salak diambil tindakan. Inilah satu-satu jalan yang mampu dilihat oleh UMNO apabila mereka berhadapan dengan dissenting views.
Mereka tidak mampu menghadapi sesuatu masalah, tetapi disebabkan oleh mereka mempunyai kuasa yang dipinjamkan oleh Allah melalui undi rakyat, maka kuasa tersebut digunakan untuk ambil tindakan. Tidak ada ruang untuk menyatakan pandangan yang berbeza dengan apa yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan, kalau ada sedikit perbezaan sahaja, maka yang mampu dilihat oleh mereka ialah ambil tindakan. Rakyat bawahan yang marhean telah terlalu kerap menjadi mangsa ambil tindakan ini. Sekarang oleh kerana sesama mereka berlaku perbalahan, maka bahana ambil tindakan ini yang dulunya hanya dirasai oleh rakyat marhean, kini mungkin akan dirasai oleh anggota mereka sendiri.
Bagaimana agaknya mereka rasa sesuatu yang selama ini hanya dirasai oleh golongan susah.