Musim haji akan sampai tidak berapa lama lagi. Bagi anda yang telah dijadualkan dan telah terpilih untuk mengerjakan ibadat haji pada tahun ini saya mengucapkan selamat menunaikan ibadat haji dan sentiasa berdoa semua kita yang menunaikan ibadat tersebut mendapat haji yang mabrur.
Satu perkara penting yang saya ingin tarik perhatian semua orang yang berkira-kira untuk menunaikan ibadat haji, iaitu, ibadat haji ini adalah satu ibadat yang bersifat fizikal. Banyak diantara amalan yang terdapat didalamnya memerlukan kekuatan fizikal untuk membolehkan kita melakukannya. Biasa, mengikut hukum akal, orang berumur muda lebih berkemampuan untuk melakukan kerja-kerja yang bersifat fizikal berbanding dengan oleh yang lebih senior dari segi umur.
Oleh itu, sekiranya anda berhasrat untuk menunaikan haji, maka saya cadangkan di sini supaya anda tunaikan ibadat haji pada umur semuda yang mungkin. Kalau sekiranya peluang hanya terbuka kepada anda pada umur yang dikira telah senior, maka terimalah apa yang termampu oleh anda. Kalau ada pilihan, pilihlah untuk melakukannya pada umur yang muda.
Yang penting, anda azamkan yang anda hendak mengerjakan ibadat haji, kalau masih belum.