Friday, August 8, 2008

BALIK KAMPUNG, TANAM KACANG

Assalamualaikum,
P.Ramlee telah mendendangkan kalau kita tidak punya kerja, maka sepatutnya kita balik kampung, tanam kacang. Rupanya idea P. Ramlee ni kekal sehingga ke hari ini. Kita dihamburkan dengan persepsi tentang kegawatan ekonomi, harga barang naik. Minyak naik, harga beras naik, harga ayam naik, harga roti canai naik, harga tambang bas naik. Semua naik. Sehari dua ni di Selangor minyak masak telah mula sukar didapati, itu satu algi petanda harga barang tersebut akan naik. Tiga minggu lagi, umat Islam akan menyambut ramadhan, yang ini pasti harga pelbagai barang akan naik. Selepas menyambut ramadhan, umat Islam akan menyambut Idul Fitri, lagi sekali harga barang akan naik.
Apakah yangdicadangkan oleh pak pak menteri apabila harga barang naik? mereka cadangkan kita tanam kacang belakang rumah. Mereka cadangkan kita tanam terung belakang rumah. Atau kita terus balik kampung dan terus berkebun. Inilah cara mereka untuk mengatasi harga barang naik.
Kalau ada dikalangan anda yang telah wujud semasa krisis inflasi dalam tahun 70an, lagu yang sama juga didendangkan kepada rakyat, iaitu, apabila berlaku inflasi, harga barang naik, penyelesaiannya ialah tanam kacang. Nant, kalau harga barang naik lagi, senang sahaja. Tanam kacang.
Ini menunjukkan minda dan kemampuan berfikir mereka ni tidak berkembang. Malah beku. Kalau nak gunakan istilah Arab yang mereka selalu labelkan kepada orang yang tidak sehaluan dengan mereka, keadaannya ialah jumud. Bagaimana otak yang seperti ini rakyat angkat ke jawatan yang penting?
Kita disuruh berjimat, tetapi mereka membelanjakan harta negara dengan sewenang wenangnya. Beberapa posting yang lepas saya telah sentuh tentang projek terbengkalai di Selangor, tetapi bukan Selangor sahaja, malah seluruh Malaysia ini kalau kita perhatikan pelbagai projek gajah putih yang menjahanamkan perbendaharaan negara terus dilaksanakan. Selepas dilaksanakan tu, kita akan terima laporan kerugian. MAS rugi. Proton rugi. Bank Islam rugi. Itu rugi. Ini rugi. Untuk menampung kerugian tersebut, harta dari perbendaharaan negara digunakan.
Tetapi apabila harga barang naik rakyat disuruh tanam kacang. Apa, ingat rakyat ni hari hari makan kacang ke?
Apa perlu mereka lakukan ialah, kalau mereka punyai medulla oblongata, ialah menambahkan kekayaan negara. Create wealth. Tugas mengatasi inflasi ialah tugas pemerintah, bukan tugas rakyat. Tambahkan lagi peluang pekerjaan, bertindak secara kreatif supaya pendapatan negara dijana setinggi mungkin dan kemudian harta negara, dan pendapatan negaraitu dititiskan kepada rakyat. Bukan dilonggokkan dalam poket kamu.
Rakyat disuruh tanam kacang. Mereka menanam cerucuk besi.
Raykat lapar terlentang. Mereka kekenyangan sambil mencungkil gigi.