Monday, September 8, 2008

KENANGAN UMRAH

Assalamualaikum,


Umrah saya pada bulan Mei-Jun yang lepas membawa seribu kenangan. Ibu saya jatuh sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama 14 hari. Itinerari perjalanan terpaksa dirombak, dan isteri serta dua orang anak saya kembali dahulu ka Malaysia. Saya dan adik lelaki saya tinggal dulu untuk menjaga ibu saya.
Tetapi adik saya perlu kembali lebih awal, dan oleh kerana saya telah terpisah dengan kumpulan asal saya, maka pihak muassasah tidak lagi memberi perhatian kepada urusan perjalanan saya. Saya telah dapatkan tiket penerbangan pulang untuk adik saya yang dibeli sebagai tambahan daripada tiket asal penerbangan.
Saya perlu hantar adik saya ke lapangan terbang Jeddah, kerana beliau tidak yakin untuk pergi bersendirian, kerana itulah pertama kali ia keluar Malaysia, pertama kali naik kapal terbang, pertama kali buat umrah dan tidak tahu proses check in, juga tidak tahu macam mana hendak ke Jeddah. Saya sewakan sebuah teksi sapu dengan membayar SR150 untuk membawa adik saya dan saya ke Jeddah. Semasa menunggu teksi tersebut, saya berbual bual dengan Hj. Ahmad Makkah, orang muassasah.
Kami tiba di Jeddah dengan selamat, dan proses check in adik saya beres tanpa perlu membayar excess luggage. Apabila dia telah selesai dengan urusan tersebut, dan telah bersedia untuk masuk ke kaunter imigeresen, saya meninggalkan dia dan menuju ke tempat teksi di luar bangunan lapangan terbang untuk kembali ke Makkah. Saya dapat satu teksi yang mulanya mahu mengenakan bayaran SR200 untuk ke Makkah, tetapi kemudian setuju menurunkan harga ke SR150 apabila melihat saya telah cuba beralih ke teksi lain. Hari tersebut ialah hari Khamis 12/6/08.
Saya pun setuju ambil teksi tersebut dan terus bertolak ke Makkah. Setelah kira kira 15 - 20 minit bergerak ke Makkah, pemandu teksi tersebut bertanya kepada saya where is your pasport? dia orang Pakistan dan boleh berbahasa Inggeris. Saya jawab I dont bring my passport along, it is with the muassasah. Pemandu teksi itu memberi tahu saya perlu tunjukkan paspot saya kepada kawalah keselamatan untuk memasuki Makkah. Tanpa paspot katanya you are in great trouble. Dia mengulangi lagi beberapa kali kepada saya you are in great trouble.
Untuk masuk dan keluar Makkah ke Jeddah perlu melepasi satu sekatan keselamatan, oleh kerana semasa pergi saya gunakan teksi sapu, kawalan keselamatan tidak memerlukan ia berhenti, tetapi kalau gunakan teksi sebenar, teksi tersebut perlu memasuki satu lorong khas untuk keselamatan, dan penumpang perlu menunjukkan paspot masing masing, kerana apabila keluar dari Makkah, paspot antara bangsa diperlukan untuk semua urusan.
Teksi itu terus bergerak dan semakin lama semakin hampir dengan pos kawalan keselamatan. Hati saya mula berdebak dan berdebuk. Saya terbayang apabila saya gagal menunjukkan paspot, saya disuruh keluar teksi dan ditahan oleh polis Saudi. Saya dapat bayangkan layanan mereka, dan macam macam sangka masuk ke fikiran saya. Saya teringat kata kata seorang kawan saya yang bekerja sebagai team penyedia makanan jemaah haji Malaysia. Kalau kena tangkap di Saudi, dia letakkan engkau tengah panas, lepas dua bulan kering engkau. Kemudian saya terbayangkan emak saya yang sakit dan keluarga saya di Malaysia.
Tiba tiba saya teringat untuk menelefon Hj.Ahmad Makkah orang muassasah itu. Saya call dan dapat cakap dengan dia. Dia kemudian mengarahkan teksi itu meninggalkan saya di satu tempat, dia akan datang untuk mengambil saya. Teksi itu memberhentikan saya di satu setesen minyak bernama Assalam Petrol Station di satu tempat namanya Behra, kira-kira 20-25 minit perjalanan dari Jeddah ke Makkah. Saya tunggu Hj. Ahmad di musollah di situ hingga sampai waktu magrib. Sebaik sahaja jemaah selesai solat magrib, Hj. Ahmad pun sampai, dan dia membawa saya balik ke Makkah.
Puuh, saya berasa sangat lega, seperti satu batu berat yang menghempap kepala saya telah diangkat dan dibuang. Semasa di Makkah, sebelum bertolak ke Jeddah, saya teringat yang untuk keluar dari Makkah, saya perlu membawa paspot bersama saya, tetapi tidak teringat untuk meminta paspot itu dari Hj.Ahmad, dia pun begitu juga, walaupun berbual dengan saya di lobi hotel sebelum saya naik teksi ke Jeddah, tidak teringat untuk memberi saya paspot saya.
Syukur kepada Allah, saya dilepaskan daripada satu musibah yang sepatutnya tidak berlaku.