Monday, September 8, 2008

RUPA BENTUK KERAJAAN ANWAR MENGIKUT PIMPINAN PAS

Assalamualaikum,


Pada posting yang lepas, saya telah tulis mengenai rupa bentuk kerajaan Anwar mengikut pandagan saya. Mungkin pandangan tersebut menyebabkan sebahagian yang membacanya rasa sedikit sedih dan terkilan. Bagaimana kalau saya perturunkan pandangan pimpinan PAS dalam hal ini. Saya gunakan Harakah bilangan 1373, 8-11 Sept. 2008. m.s 2 sebagai rujukan.
Saya petik ungkapan daripada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa:
.....satu kerajaan yang baharu, lebih berwibawa dapat dibinakan dan segala bentuk rasuah, penyelewengan kuasa, kehilangan kedaulatan undang-undang, kedudukan sistem kehakiman sebagai satu asas keadilan sosial yang lebih baik boleh diwujudkan
Saya petik pula ungkapan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa:
PAS akan menyokong sebarang usaha bagi memastikan terbentuknya kerajaan yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat.
Dalam kedua dua petikan tersebut , pimpinan tertinggi PAS telah menjangka bahawa rupa bentuk kerajaan Anwar ialah kerajaan sosialis. Mereka memberi jaminan bahawa PAS akan bekerjasa dengan sistem yang bakal diguna pakai ini, sekiranya ia sungguh dapat dibentuk.
Apakah beza antara sistem sosialisme dengan sistem Islam. Kedua dua nya hampir serupa tetapi tidak sama. Kedua dua sistem ini memperjuangkan keadilan, sosialisme memperjuangkan keadilan sosial, sementera Islam memperjuangkan keadilan duniawi dan ukhrawi.
Persamaanya ialah kedua dua sistem ini membenteras sebarang penyelewengan yang menyebabkan ada golongan yang tertindas atau dianiaya atau dimelukutkan secara melanggar undang undang dan/atau hak hak asasi manusia. Kedua dua sistem ini melihat negara itu sebagi satu amanah. Sosialisme melihat negara itu sebagai hak public, atau hak orang ramai, atau hak rakyat atau hak warga negara dan bukan hak individu atau kumpulan. Oleh kerana itu, penggunaan hak negara mestilah penuh dengan tanggung jawab, akauntabiliti dan telus, supaya rakyat dapat melihat dan menilai bagaimana hak negara itu digunakan dan diurus.
Dalam kes sosialisme, pertanggung jawaban adalah kepada rakyat.
Islam melihat negara sebagai amanah Allah. Segala pengurusannya hendaklah sentiasa berpandu kepada apa yang telah diputuskan oleh Allah, RasulNya dan sumber-sumber lain yang telah ditetapkan.
Dalam kes sistem pemerintahan Islam, pertanggung jawaban adalah kepada Allah.
Tetapi titik pertemuan (convergence) antara sosialisme ini dengan Islam tidak selama kekal, kerana ada ketika dan suasana titik ini tercapah (divergence). Puncanya ialah Islam berteraskan syariah yang diasaskan kepada wahyu Allah. Sosialisme berteraskan ketajaman pemikiran manusia.
Saya ambil satu contoh, untuk berlaku adil dan memberi kesejahteraan kepada rakyat, dan atas permintaan popular, judi minta dihalalkan. Sosialisme akan memberi lampu hijau kalau ini pada ketajaman pemikiran manusia pilihan yang terbaik. Sistem Islam akan tetap mengharamkannya kerana pemerintah tidak ada kuasa untuk menukar ketetapan yang sedia ada. Di sinilah nanti akan timbul perbalahan, sekiranya berlaku perkongsian kuasa dan semua komponen mempunyai kekuatan yang sama.
Sebab itulah dalam sebarang bentuk perkongsian, kedudukan sebagai senior dan junior itu wujud. Begitu juga dalam hal perkongsian kuasa.
Jadi, sekiranya kerajaan Anwar ini menjadi kenyataan, dan kalau mengikut kenyataan kedua dua pimpinan PAS tersebut, pelayaran PAS telah pun dicarta laluannya.