Thursday, September 11, 2008

PADAH BATU

Assalamualaikum,


Ada orang percaya kepada batu terapung, ada orang merajuk seperti batu belah, ada orang menangis seperti batu bertangkup, ada orang sembah batu, ada orang yakin nasibnya ditentukan oleh batu.
Batu ialah satu kumpulan mineral atau galian, dan apabila mineral ini bergabung samada cara igneous, metamorphism atau sedimentari, maka terbentuklah batu. Kalau besar dan banyak biasanya disitilahkan sebagai batuan.
Batuan mempunyai pelbagai ciri, dan ada diantaranya apabila dipotong dan digilap, ia menjadi sangat menarik, terutamanya untuk tujuan perhiasan. Antara perhiasan yang sering menggunakan batu sebagai unsur pentingnya ialah cincin. Kalau batuan yang mengandungi mineral yang terpilih, maka ia akan diistilah sebagai permata. Kalau yang koman tu kiranya dinamakan batu akik.
Terdapat kecenderungan sesetengah orang untuk mengaitkan penggunaan batu akik sebagai cincin boleh mengubah nasib. Saya pernah didatangi oleh seorang penjual baru akik yang menawarkan satu batu yang dikatakannya hidup, dan mengikutnya lagi, ada seorang yang membeli batu darinya dan memakainya sebagai cincin dan sebaik sahaja ia memakai cincin tersebut nasibnya berubah kepada sangat baik. Saya berkata dalam hati, mengapa ada orang yang saya tahu orang Islam mensyirikkan Allah dengan percaya batu boleh mengubah nasibnya. Memang batu akik boleh hidup kerana ia terjadi dari mineral, dan mineral sentiasa mengalami perubahan. Sebab itu anda akan lihat warnanya akan merebak atau bertukar.
Dengan kepercayaan yang syirik ini anda boleh saksikan ramai orang yang percaya batu yang dicincinkan dan dipakai boleh mengubah nasib sipemakainya. Agaknya, untuk mengubah nasib kepada pelbagai hasrat, maka itulah kita kadang kadang lihat ada orang orang yang pakai cincin batu akik pada semua jarinya. Juga saya percaya, saiz batu pada anggapan mereka yang berkecimpung dalam bidang ini memainkan peranan. Kalau hendakkan batu yang power tinggi, pakailah cincin yang batunya besar, tentu nanti lebih cepat hasrat sipemakai itu dicapai.
Cuma mungkin mereka terlupa baca satu perkara. Kalaulah batu boleh membawa tuah, tentulah batu juga boleh membawa padah!
Anda ada lihat sesiapa pakai cincin batu besar baru baru ni?