Saturday, March 21, 2009

SETUJU DENGAN NAKHODA

Assalamualaikum,

Saya setuju dan menyokong kenyataan Tuan Guru Nik Aziz bahawa beliau adalah nakhoda dalam PAS, dengan semua perkara yang melibatkan polisi hendaklah dirujuk kepada beliau. Samada perkara itu hendak dilontar kepada masyarakat untuk menguji pandangan orang ramai, atau perkara yang memang hendak dilaksana serta diimplimentasi.

Perkara nakhoda ini timbul apabila Tuan Guru Haji Hadi melontarkan satu cadangan untuk mengadakan satu kerajaan perpaduan. Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato' Mustafa Ali menyatakan bahawa kedua dua tok guru tersebut adalah betul.

Saya ingin memilih untuk tidak selari dengan hujah Dato' Mustafa Ali. Jalan mudah yang boleh kita pilih untuk kelihatan tidak memihak dan untuk kelihatan semuanya cantik dan comel adalah bersuara seperti yang dikatakan oleh Dato' tersebut. Tetapi sebenarnya tidak semuanya comel.


Pertama, apabila disebut kerajaan perpaduan, persepsi yang timbul dalam fikiran rakyat dan pengundi ialah PAS atau pun PR bergabung dengan BN. Walau apa pun yang cuba diterangkan oleh Dato' Mustafa Ali, atau oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, rakyat tetap melihat kerajaan perpaduan yang disebut tersebut begitulah rupanya. Tidakkah mereka sedar bahawa sebahagian besar rakyat meluat dan meloya dengan BN. Sebarang idea untuk memeluk, atau sebarang gesaan yang kelihatan seperti memeluk BN akan dilihat sebagai sesuatu yang jijik dan meloyakan.

Kedua, BN tidak akan setuju dengan sebarang bentuk kerjasama dengan mana mana pihak sekiranya mereka tidak berpeluang memegang tampuk kuasa. Sekiranya kerajaan perpaduan ini menjadi kenyataan, BN akan pastikan bahawa merekalah nakhoda dalam kerajaan yang sedemikian, parti lain bolehlah jadi para juak yang kerjanya melabuhkan sauh.

Bagaimana penyokong PR boleh terima keadaan ini bila mereka semakin hampir menendang BN untuk tersungkur dari tahta kuasa? Kerajaan perpaduan hanya akan mengawetkan cengkaman UMNO dan BN terhadap kuasa.

Ketiga, bau kerajaan perpaduan ini adalah berbau racist dan melayu-centric. Tujuan kerajaan perpaduan ini adalah untuk mengekalkan kononnya pegangan dan cengkaman Melayu Islam terhadap kuasa. Itulah sebabnya Ibrahim Ali menyokong saranan Tuan Guru Haji Hadi ini. Bukan kah Ibrahim Ali sentiasa mengkentutkan PAS, bukankan Ibrahim Ali pernah gelar Hj. Hadi ulamak tahi kucing? Tetapi kenapa dalam isu ini Ibrahim Ali tiba tiba saja begitu berhemah setuju dengan Tuan Guru Haji Hadi?

Sebabnya ialah Ibrahim Ali, serta mereka yang sealiran dengan beliau mempunyai persepsi seperti yang saya katakan tadi. Mereka melihat, gesaan kerajaan perpaduan ini adalah satu satunya cara untuk menyelamatkan UMNO. Tidakkah anda tahu perkataan Melayu dan Islam itu adalah satu smoke screen untuk UMNO. Jadi bila mereka berbuih mulut berkata untuk menyelamatkan umat Melayu dan Isalm, yang sebenar benar benarnya ialah mereka hendak menyelamatkan UMNO. Bila UMNO selamat, maka mereka sendiri akan selamat. Sekarang Tuan GuruHj. Hadi datang untuk menawarkan kepada mereka yang sedang keadaan nazak ini, ubat untuk menyelamatkan mereka.

Saya tahu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menggunakan teori germination semasa melontarkan gesaan tersebut.

Tetapi teori tersebut tidak sesuai buat ketika ini. Ikutlah kata kata nakhoda.