Wednesday, September 24, 2008

KECERMELANGAN QARI MUDA: MALAYSIA BERTERIMA KASIH?

Assalamualaikum,

Dua tiga hari lepas kita telah mendengar berita yang membanggakan di mana seorang qari muda yang mempunyai bakat yang tinggi telah ,mengharumlan nama Malaysia.Muhammad Ahmad Zahid mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai kategori bacaan terbaik pada majlis Anugerah al-Quran Antarabangsa Dubai (Dihqa) ke-12 yang berakhir di sini kelmarin.
Kita berbangga dengan pencapaian para qari dan qariah kita yang saban tahun tidak terlepas daripada memenangi dan menggondol hadiah serta gelaran dalam pelbagai pertandingan, terutamanya Tilawah Al Qur'an yang dianjurkan oleh Malaysia setiap tahun.
Tetapi apakah sebenarnya pengiktirafan yang diberikan oleh negera terhadap para qari dan qariah ini yang telah mengharumkan nama negara? Saya rasa ramai orang telah mendengar nama Almarhum Hj. Ismail Hashim, yang telah menjadi johan dunia membaca Al Qur'an sebanyak 7 kali. Apakah pengiktirafan bermakna yang diberikan oleh negara? Begitu juga nama besar seperti Hajah Faridah Mat Saman, yang merupakan qariah tersohor negara. Apakah pengiktirafan yang diberikan oleh negara kepada mereka?
Anda pernah dengar nama Hamzah Dolmat? Almarhum ini adalah seorang pemain biola yang tiada tolok bandingnya di Malaysia. Dia telah diberi pengiktirafan oleh Universiti Malaya dalam salah satu majlis konvokesyennya. Para sasterawan ada hadiah atau penganugerahan Sasterwan Negara. Para Artis ada pelbagai anugerah yang sangat dihebohkan oleh media dan pencinta mereka.Tetapi para qari dan qariah?
Saya selalu terfikir semasa Almarhum Hj, Ismail Hashim masih hidup, mengapa tidak ada mana mana universiti menganugerahkan kepada beliau ijazah doktor kehormat kerana kepakarannya yang sangat tinggi dalam bidang tilawah ini. Kemudian gajikan beliau untuk mengajar ilmu tarannum dan tilawah di universiti universit di Malaysia, dengan itu universiti yang berjaya mendapatkan khidmat beliau akan menjadi universiti tarikan di dunia . Apabila beliau meninggal dunia, idea tersebut turut berkubur sama. Tetapi kita ada pengganti yang setaraf dengan almarhum itu.
Kalau sekiranya universiti universiti ada jawatan karyawan tamu, maka mengapa qari/qariah tidak termasuk dalam senarai mereka?Ada universiti yang menyediakan jawatan yang dikenali sebagai chair, mengapa para qari/qariah ini tidak dijemput menduduki jawatan tersebut?
Sebabnya ialah Islam itu duduk ditangga jauh ke bawah dalam pemikiran mereka yang diberi pinjam kuasa, dengan itu juga ilmu tilawah dn tarannum ini melecehkan sahaja. Tak ada standard. Apa perlunya itu semua dalam kita mengejar kemajuan?