Thursday, September 25, 2008

OH PROFESOR KU

Assalamualaikum,



Beberapa tahun yang lepas, saya ada kuliah jam 2 petang. Jadi selepas solat zohor di masjid, saya langsung memasuki dewan kuliah untuk memulakan kuliah. Biasanya di dewan kuliah, pelajar perempuan yang duduk di baris hadapan. Pada hari itu, apabila saya masuk sahaja ke dalam dewan kuliah, beberapa pelajar perempuan senyum kepada saya. Hai, nampaknya mesra mereka kepada saya hari ni.
Saya terus berkuliah, terkadang kehadapan, terkadang membelakangi pelajar untuk menulis dan seterusnya seperti biasa saya berkuliah. Setiap kali saya bertentang muka dengan pelajar, mereka senyum kepada saya. Amboi, baiknya hati mereka hari ni!
Setelah cukup satu jam, kuliah pun tamat, dan saya pun beredar dari dewan tersebut. Saya tidak menjeling atau menoleh kepada pelajar semasa keluar, tetapi semacam saya nampak mereka sangat mesra hari itu, sentiasa menghadiahkan senyum kepada saya. Sempat juga saya nampak ada pelajar lelaki juga turut mesra dengan melemparkan senyum misteri kepada saya.
Dari dewan kuliah, saya berjalan kaki untuk kembali ke ofis saya, dan perjalanan tersebut menaiki beberapa mata anak tangga. Sampai di dataran, terdapat sekumpulan kerani yang duduk semeja kerana mungkin mereka terlibat dengan pendaftran pelajar bagi tujuan pilihan raya kampus yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Ada seorang kerani, Kamsiah namanya, dulu dia di jabatan saya, tetapi telah naik pangkat dan jadi CC di pejabat dekan, duduk betul betul bersetentang dengan arah saya berjalan kaki. Dari jauh Kamsiah senyum kulum kepada saya. Oleh kerana saya telah biasa dengan dia, saya pun balas senyumnya, bukan untuk menggoda, tetapi senyum ambil hati.
Kemudian saya lihat semua kerani kerani yang ada di situ tersenyum, tapi senyum tersipu. Saya tak ambil kisah, sebab biasa dia orang senyum macam tu. Saya sapa Kamsiah, tunggu apa? dia jawab sambil senyum melebar, daftarkan student. Saya pun terus melangkah.
Sambil naik tangga ke lantai ofis, saya tunduk memandang ke arah anak tangga agar jangan tersilap langkah. Semasa tunduk memandang anak tangga itu, saya ternampak seluar saya. Seluar tersebut berlipat sekira kira 6 inci dari buku lali di kedua dua kaki. Semasa mengambil wudhu' saya lipat kaki seluar saya.
Patutlah mereka senyum kat aku hari ni!