Pilihan raya 1999. PAS bertanding di DUN Kajang. Saya pengarah jentera pilihan raya. Calon yang kami kemukakan ialah Dr. Shafie Abu Bakar. Calon baru 5 bulan masuk PAS, belum lagi dikenali di dalam DUN tersebut. Tetapi jentera pilihan raya telah dua tahun disiap dan diperkasa.
Setelah keputusan diumumkan, PAS menang dengan kelebihan 37 undi. Tetapi menang tetap menang. Kemenangan tersebut adalah satu kemenangan yang mencipta sejarah, kerana sebelum ini, PAS tidak berpeluang langsung untuk memenangi kawasan yang ramai penduduk bukan Melayu, terutamanya kalau pengundi Cina.
Selepas kemenangan tersebut, banyaklah MTD di Selangor yang datang untuk mencungkil rahsia bagaimana kemenangan tersebut boleh dicapai. Dan kami pun menceritakan apakah strategi dan faktor yang telah membantu kami.
Tetapi saya terus berfikir apakah faktor sebenar yang telah membantu kami. Semua faktor tersebut diulang semula dalam pilihan raya 2004, dan dengan keghairahan yang lebih, kerana tenaga baru yang semakin banyak membantu jentera PAS. Walau pun saya tidak lagi terlibat dengan jentera pilihan raya 2004, tetapi sekiranya benar faktor yang kami sebutkan dahulu, maka tentulah kemenangan tersebut boleh di replicate. Tetapi ia tidak sedemikian.
Selepas itu baru saya faham, swing pengundi Cina kepada PAS dalam tahun 1999 sebahagian besarnya telah dibantu oleh gambar Hj. Hadi berpelukan dengan Lim Kit Siang. Selepas gambar tersebut tersiar, gerak kerja kami dengan orang DAP menjadi mudah. Ditambah mudah lagi bila kami membuat sambutan bersama dengan DAP kerana bebasnya Lim Guan Eng dari penjara Sungai Jelok di Kajang.
Saya, percaya, gambar Lim Kit Siang bersalaman dengan Haji Hadi semasa lawatan hari raya pemimpin DAP itu baru baru ini ada implikasi politik. Saya percaya gambar ini boleh membuat pengundi Cina swing kepada PAS dengan lebih baik lagi kalau suasana politik kekal seperti sekarang. Gambar ini mesti diperguna sepenuhnya oleh jentera PAS untuk meraih untuk dari non Muslim, non Melayu, terutamanya pengundi Cina.
Yang ini saya percaya sungguh.