Tuesday, October 7, 2008

SEBERANG SEBERUT

Assalamualaikum,


Ini adalah istilah yang sering diguna pakai oleh almarhumah nenek saya, untuk menunjukkan keadaan berserabut, tidak tersusun, tonggang langgang, tak tentu arah, bersepah, berselekeh, kotor bolor dan keadaan yang sama macam dengannya.


Kalau kita tinggal di kawasan taman perumahan, maka keadaan bangunan dan persekitaran adalah dirancang, supaya ia tidak seberang seberut. Apatah lagi kalau kawasan perumahan tersebut bertaraf bandar, apatah lagi bandar baru, semestinya ia terjaga dan terkawal. Yang mengawal dan mengawal selia biasanya raja tempatan yang dikenali sebagai pihak berkuasa tempatan.


Sekiranya anda membina sebarang binaan tanpa kebenaran raja ini, maka besar kemungkinan anda dikenakan tindakan, samada didenda atau didakwa, dan binaan diroboh. Sebagai contoh, baru baru ini sebuah kuil dirobohkan.


Tempat di mana saya tinggal, pihak berkuasa tempatannya dikenali sebagai Majlis Perbandaran Kajang.


Tetapi saya musykil dan kemudian meningkat kepada rasa ajaib apabila ada binaan yang seberang seberut dibenar dibina ditengah tengah bandar, dan kemudian menjalankan pula aktiviti komersial.




Kalau anda dan saya yang buat begini, dah lama kena runtuh dan diambil tindakan. Tetapi yang ini terus dibiarkan . Kenapa ye?


Kalau kita nak buat renovation rumah, kena ada plan, kena ada itu dan ada ini, tapi yang ni seberang seberut pun ok aje.







Tempat ini bukan sahaja seberang seberut, tetapi kotor serta bolor. Sebab itulah gagak menjadikan kawasan ini tempat tidur mereka diwaktu malam. Tetapi, apabila malam, sambil sang gagak melepaskan tahi dibawah peraduan mereka, disekitar inilah juga paling enak masakan digerai makanan yang terdapat di situ.





Selain dari seberang seberut dan kotor bolor, tempat ini juga berbau busuk, kerana pelbagai aktiviti komersial yang tidak mengambil peruah mengenai keselesaan orang lain.




Seberang seberut ini tumbuh dalam pemerintahan BN, sambung ke zaman PR. Di Bandar Baru Bangi, bersebelahan Bank Islam.