Friday, January 30, 2009

MENUNGGU SOLAT JUMAAT: DI MANA ANDA?

Assalamulaikum




Hari ini 3 Safar 1430 bersamaan 30/1/2009 adalah hari Jumaat. Lelaki Islam yang telah baligh wajib solat Jumaat. Kalau anda di Kuala Lumpur, masuk waktu untuk solat Jumaat adalah sekitar 1:25 tengahari.



Sekiranya anda bekerja di pejabat, saya jangka sekitar jam 12:00 atau 12:15 pagi, anda telah boleh pergi ke masjid untuk solat Jumaat. Katakan anda sampai di masjid jam 12:30 tengahari, sekira kira 1 jam lagi untuk azan dikumandangkan. Di mana anda pada ketika itu?


Pergi gerai makan? Pergi gerai jual akhbar? Atau minum minum? Atau berbual kosong? Atau anda terus ambil air sembahyang dan masuk masjid?


Saya syorkan masa yang terluang itu dipenuhkan dengan amal ibadat. Masyarakat Nusantara ini telah terbiasa kalau hari atau malam Jumaat, baca Ya Sin. Kalau anda telah baca Ya Sin, baguslah.


Tapi saya cadangkan anda azamkan untuk masuk ke dalam masjid seberapa awal yang anda mampu. Masuk sahaja dalam masjid, saya cadangkan anda lakukan solat sunat tahiyyatul masjid.


Sekiranya anda ingin sambung dengan solat sunat yang lain, silakan. Disamping itu, membaca Al Qur'an juga amat digalakkan. Hari Jumaat, amat digalakkan baca surah Al Kahfi. Biasanya surah Al Kahfi ini ada gandingannya. Surah Ad Dukhan. Subuh Jumaat imam digalakkan kalau mampu bawa surah As Sajadah. Gandingan surah ini ialah surah Al Insan. Pada malam Jumaat, selain daripada baca surah Ya Sin, elok juga baca surah Al Jumaah. Elok juga dibaca gandingan kepada surah ini iaitu Surah Al Munafiqun.


Selain daripada itu, gandingan surah As Sajadah ini juga ialah surah Al Mulk. Elok juga dibaca. Selain daripada itu amat elok kalau surah Ar Rahman dan surah Al Waqiah dijadikan amalan harian.


Imam As Syafie mencadangkan supaya umat Islam menzikirkan Ya Allah pada hari Jumaat. Pada hari Jumaat sesiapa yang berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sekali, Allah akan menselawat ke atasnya sebanyak 10 kali. Kalau anda selawat sebanyak 1000 kali? Kalau sekiranya Allah menselawat ke atas anda, itu adalah petanda baik untuk kehidupan di akhirat.


Hari Jumaat juga elok kita minta ampun dari Allah s.w.t dengan mengucapkan astaghfirullah sebanyak mungkin. Katakan 1000 kali.


Kalau ini yang anda cari di pagi Jumaat, anda tidak punya cukup masa untuk lihat orang jual ubat di perkarangn masjid.