Friday, August 29, 2008

TRILOGI MASJID: 3RD INSTALMENT:MASJID ARRAHMAN, U.M.





Assalamualaikum,


Sekitar Mei 2008 dahulu saya menceritakan 2nd instalment daripada trilogi masjid, dan sekarang telah sampai masa untuk instalment terakhir. Masjid Arrahman, Jalan Pantai Baru,Kuala Lumpur adalah satu masjid yang sangat penuh dengan pelbagai peristiwa. Dalam tahun 1997 saya telah masuk ke trak FRU bersama yang lain kerana demonstrasi anti team kriket Israel.





Pada satu hari dalam tahun 1988, lebih tepat lagi 1 Sept. 1988, saya telah lambat sampai ke masjid tersebut untuk bersembahyang zohor. Semasa dalam perjalanan ke masjid, saya lihat langit sangat mendung, menandakan hujan lebat akan turun tidak lama lagi. Oleh kerana telah lambat sampai ke masjid, tempat letak kereta telah penuh semuanya, jadi saya secara tergesa gesa tepaksa parkir kereta di atas jembatan lengkung bersebelahan dengan asrama Pandu Puteri. Sekarang jambatan itu telah tidak ada lagi.




Semasa menunaikan solat zohor, hujan turun dengan lebatnya, dan sebaik sahaja selesai solat, saya pun membaringkan diri di satu sudut masjid kerana saya keletihan berpuasa khamis dan juga tidak boleh keluar masjid kerana hujan lebat. Dalam sekelip mata sahaja saya telah nyenyak tidur.




Tiba-tiba saya terdengar suatu suara dalam tidur saya, yang menyebabkan saya terjaga dari tidur. Syeikh, syeikh, kereta siapa tu? kata orang tersebut. Orang tersebut menunjukkan ke arah sebuah kereta. Sebuah Toyota LE 30 berwarna biru PKR, nombor plat NK 2936. Itulah kereta saya. Saya lihat kereta saya telah ditengelami oleh air banjir, dan kereta kereta lain yang sama sama parkir di situ telah tidak ada lagi. Yang tinggal itulah sebuah.




Pada ketika itu air banjir di sungai sebelah Masjid Arrahman telah pun melepasi tebing sungai dan sedang menenggelamkan kawasan di sekitar masjid. Arus air yang telah berada diperkarangan masjid sangat laju, yang tidak memungkinkan saya keluar dari masjid. Aliran air dalam sungai pula berkali ganda lagi lajunya. Dari lokasi saya dalam masjid ke kereta saya adalah kira kira 30 meter, agak jauh. Dan saya tidak mungkin boleh ke kereta saya untuk menyelamatkannya, kerana ini akan membayakan saya.




Apabila saya perhatikan kereta saya, saya lihat ia terapung, ditolak sedikit demi sedikit oleh aliran yang laju itu ke arah hujung penghadang jambatan. Di hujung penghadang tersebut, ialah tebing sungai. Disebabkan asakan air yang laju itu, kereta saya terpusing sedikit demi sedikit ke arah tebing sungai dan akhirnya sampai ke tebing tersebut. Saya membelakang diri saya kerana tidak sanggup melihat peristiwa tersebut seterusnya.




Sekira seminit kemudian saya dengar bunyi drruuummmm, dan apabila saya jeling, saya lihat bahagian hadapan kereta saya telah terjunam ke dalam tebing dan diheret arus ke alur sungai dan terus ditelan oleh arus sungai yang laju. Selepas itu saya tidak lagi melihat kereta tersebut. Apabila masuk waktu asar, hujan telah berhenti, tetapi arus sungai masih lagi laju dan besar, maka kereta saya tidak dapat ditentukan di mana. Saya pun kemudian balik ke rumah dengan menumpang kereta kawan.




Pada malam itu saya cuba mencari kereta saya disungai tersebut, tetapi tidak berjumpa. Rupanya semasa saya mencari kereta tersebut, isteri sedang mengalami kesakitan hendak bersalin. Sabaik sahaja sampai ke rumah, saya terus membawa dia ke klinik doktornya untuk bersalin. Pada malam itu, anak saya yang kelima dilahirkan dan ia merupakan anak lelaki saya pertama, kerana empat orang anak sebelum ini semuanya perempuan. Bayi ini dinamakan Muhammad Basyir, lahir pada hari Jumaat 2 Sept. 1988.




Keesokan harinya, penghuni sebuah rumah setinggan di tebing sungai Anak Ayer Batu yang menelan kereta saya, terlihat sebuah kereta terapung didapurnya. Dia terperanjat besar, kerana kuatirkan kalau kalau ada orang dalam kereta tersebut. Saya menghubungi Polis Jalan Pantai Baru dan diberi tahu ada orang yang telah terjumpa kereta tersebut. Apabila saya pergi ke lokasi yang dikatakan, saya dapati tidak mungkin kereta itu dikeluarkan kerana air masih lagi dalam.




Hanya kira kira semingga selepas itu barulah boleh saya hampiri kereta tersebut, dan keadaannya sangat menyedihkan:




Saya panggil kereta tow untuk menarik kereta saya keluar dari sungai itu. Kereta tow tersebut parkir dilebuhraya federal berhadapan dengan bangunan RTM menghala ke Kuala Lumpur. Dengan menggunakan tali besi, kereta saya di tarik oleh pulley kereta tow tersebut. Semasa kerja kerja tersebut dilakukan, hujan turun dengan lebat, dan pada ketika itu juga waktu orang keluar pejabat telah sampai. Kenderaan yang lalu dilebuh raya tersebut semuanya memperlahan kelajuan, dan dengan itu satu kesesakan lalu lintas yang dahsyat berlaku, dari lokasi tersebut sampai ke Kuala Lumpur di laluan kiri, dan sampai ke Petaling Jaya di laluan kanan.
Kereta itu kemudian saya jual sebagai besi buruk.