Monday, September 1, 2008

HAL BANJIR LAGI


Assalamualaikum,


Semasa saya menulis ni, diberitakan Ribut Gustav sedang dalam perjalanan melanda New Orleans. Saya berdoa dan memohon kepada Allah Subhanawataallah supaya Malaysia dan seluruh negara umat Islam dijauhi daripada sebarang malapetaka.


Ada banyak perkara yang ingin saya tuliskan mengenai banjir ini, dan oleh kerana saya telah menulis hal ini sebelum ini, maka kita kira yang ini episod la. Ini episod pertama.


Semasa cuti sekolah bulan disember 2006, saya telah membawa empat orang anak lelaki saya bercuti di Langkawi. Kami menaiki keretapi dari Kuala Lumpur ke Kangar, dan dari Kangar ambil teksi ke Kuala Perlis, kemudian feri ke Langkawi. Semasa di Langkawi hujan turun selama 3 hari tiga malam tanpa henti, sehinggakan anak anak saya terpaksa juga naik kereta kabel semasa hujan dan pemandangan dilindungi oleh awan hujan kerana kereta kabel tersebut masuk ke dalam awan.


Apabila balik, laut bergelora, tetapi kami selamat sampai di jeti Kuala Perlis. Sesampainya di sana, tiada teksi yang ada untuk membawa kami ke Kangar, kerana kami diberitahu jalan raya ke Kangar ditenggalami banjir. Kami diberitahu, kalau hendak naik keretapi, kena naik dari Alor Setar, Kedah, kira kira 1 jam perjalanan normal. Tidak ada sebarang kenderaan yang mahu mengambil kami ke Alor Star, sedangkan kami perlu menaiki keretapi tersebut yang akan bertolak dari Alor Setar jam 7:00 malam.


Tiba tiba muncul satu kereta teksi sapu yang sanggup membawa kami ke Alor Setar dengan harga yang berlipat ganda. Saya setuju, cuma kereta ini jenis kancil yang tidak mampu untuk memuatkan kami seramai 6 orang. Tanpa disangka sangka muncul lagi satu teksi sapu jenis kancil juga yang sanggup membawa kami ke Alor Setar pada harga yang telah saya persetujui awal tadi. Maka saya isteri dana seorang anak menggunakan kancil pertama, sementara 3 anak lagi menaikki kereta yang satu lagi.


Semasa dalam perjalanan ke Alor Setar, saya menelefon setesen keretapi Alor Setar, dan Laluan yang digunakan oleh kedua dua kereta ini ialah laluan pintas yang mengelakkan banjir dan melalui celah celah kampung. Akhirnya kereta saya sampai ke setesen tersebut sewaktu station master sedang berkira kira untuk meniupkan wiselnya sebagagi isyarat kepada pemandu untuk memulakan perjalanan. Tetapi kereta saya satu lagi, yang dinaiki oleh 3 orang lagi anak saya belum sampai.


Saya minta jasa baik station master untuk tangguhsebentar sahaja lagi untuk menunggu kereta yang satu lagi. Tetapi tak sampai juga. Akhirnya station master mengatakan masa telah cukup, tren tidak boleh lagi ditangguhkan. Pada ketika itu kereta yang membawa anak anak saya sampai. Tetapi di sebelah setesen yang salah. Maka saya minta sedikit masa lagi kepada station master untuk menunggu kereta tersebut untuk berpusing dan menuju ke pintu yang betul. Akhirnya kereta tersebut sampai, saya bayar tambang perjalanan tanpa apa apa komen kepada pemandu kereta tersebut dan anak anak saya terus bergegas dan melompat masuk ke dalam tren, dan perjalanan dimulakan serta merta.


Saya kemudian mendapat tahu, bahawa banjir seperti ini tidak pernah melanda Perlis, inilah banjir paling teruk yang dialami oleh negeri tersebut!

Kangar, Taman Seri Bakau Disember 2006

Pada masa kejadian tersebut menteri besar Perlis ialah Shahidan Kasim. Dalam bulan Oktober 2006, berlaku satu pilihan raya kecil di Kelantan, Permatang Pasir (betulkan saya kalau silap di sini). Shahidan Kasim telah pergi berkempen di Kelantan. Diberitakan dalam akhbar, semasa berkempen, MB Perlis berkata apalah bodohnya orang Kelantan memilih PAS, setiap tahun Kelantan kena banjir.


Tak sampai 2 bulan selepas itu, Perlis kena banjir besar yang belum pernah dialaminya.